Wau makin “digilai” penduduk Dungun
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
DUNGUN: Permainan wau seakan menjadi kegilaan di kalangan penduduk sekitar Dungun lebih-lebih lagi dengan penganjuran yang diadakan di setiap hujung minggu di merata ceruk kampung dan tidak terlepas kawasan lapang di kawasan bandar Dungun.
Tinjauan di hari hujung minggu lalu ke beberapa buah kampung di sekitar daerah yang kaya dengan aktiviti kesenian dan kawasan tarikan pelancong tidak menghampakan dengan mendapati hampir di setiap kampung bermula seawal jam 4 petang penduduk kampung mula berkumpul beradu kemahiran menaikkan layang-layang ke udara.
Tanpa menghiraukan panas mentari yang masih membahang, penduduk tidak kira tua muda, lelaki atau wanita serta kanak-kanak datang menyaksikan pertandingan yang seakan menjadi rutin di hari hujung minggu.
Bagi penggiat permainan tradisi wau di daerah ini, Padang Majlis Perbandaran Dungun yang terletak bersebelahan Muzium daerah Dungun dan hanya 200 meter dari Pantai Teluk Lipat menjadi medan mereka menganjur pertandingan wau naik yang hampir setiap minggu dianjurkan semenjak pertengahan tahun lagi.
Seramai 80 peserta termasuk dari luar dari daerah Dungun menyertai pertandingan yang dianjurkan penggiat kesenian wau di Padang Majlis Perbandaran Dungun baru-baru ini.
Mail Yakub, 47, berkata, beliau tertarik dengan cara pengadilan pertandingan dengan menggunakan alat yang dipanggil “goh”yang dikatakan lebih adil berbanding penggunaan kayu meter untuk mengukur ketinggian wau yang dipertandingkan.
“Dengan mengguna goh semua tali teraju wau peserta dikumpulkan dan diletakkan di palang goh bagi mengukur darjah ketinggian tali teraju wau peserta.
“Bagi memastikan tidak berlaku tidak berlaku penipuan masa, sebuah tempurung berlubang di letakkan di dalam bekas berisi air.
“Tali teraju yang paling tegak semasa tempurung tenggelam akan menjadi pemenang,” katanya.
Peserta, Bahari Mohamad, berkata, beliau yang sudah beberapa kali menjuarai pertandingan wau tidak melepaskan peluang dalam pertandingan kali ini bagi merebut sebuah peti sejuk sebagai hadiah utama.
“Kebanyakan perkakas elektrik yang dimilikinya adalah hadiah yang diterima beliau dengan menyertai pertandingan wau,” katanya yang ditemani isteri beliau di hari pertandingan itu.
Penganjur pertandingan, penama, umur penama, berkata, pertandingan diadakan secara kalah mati dan setiap pertandingan dikenakan yuran sebanyak RM 5.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan